Wanita menarik nafas lebih kerap daripada lelaki, manakala lelaki menarik nafas lebih dalam daripada wanita. Sistem badan lelaki dan wanita pun tak sama. Lelaki lebih banyak memerlukan oksigen berbanding wanita supaya mereka dapat menukarkan menjadi tenaga.
Kulit lelaki lebih kasar,kulit perempuan lebih halus. Perempuan lebih halus suaranya berbanding lelaki yang kasar dan besar suaranya. Lelaki memiliki tulang anggota yang lebih panjang berbanding wanita. Tulang wanita bukan sekadar lebih kecil malah susunannya berbeza kerana wanita diciptakan tuhan dengan struktur tubuh bagi melahirkan anak.
Demikian juga pada segi psikologi, wanita secara umum lebih mudah mengikut kata hati, lebih berminat kepada cinta dan kasih sayang dan hubungan perasaan. Apabila mengamati benda, kedua-duanya juga berbeza. Lelaki lebih menggunakan pengamatan tumpuan manakala wanita menggunakan pengamatan luas dan membesar.
Pengamatan lelaki ibarat cahaya laser yang menumpukan kepada sesuatu objek. Manakala pengamatan wanita ibarat lampu suluh, yang membuka dan menampakkan sesuatu benda. Wanita mahu mengambil tahu semua perkara. Daripada perkara kecil sehingga perkara besar. Sementara lelaki hanya menumpukan kepada matlamat utama.
Cuba perhatikan kepada wanita, apa yang mereka bawa apabila berjalan keluar rumah. Tengok sahaja pada beg tangan mereka. Lebih besar daripada lelaki. Lelaki membawa beg kecil sahaja. Di dalamnya hanya ada lesen kenderaan, duit, surat-surat penting dan kad kredit bank.
Di dalam beg tangan wanita semuanya ada. Di dalam beg tangan wanita ada dompet duit, kad kredit, buku bank,buku cek, alatan mekap, cermin,sikat,tisu muka, pengetip kuku, kunci, pen, pensel, ubat sakit kepala, gambar suami, gambar anak, cermin mata hitam, buku telefon dan macam-macam lagi. Kenapa sedemikian dilakukan oleh wanita? Jawabnya kerana wanita memikirkan pelbagai kemungkinan perkara yang boleh berlaku. Mereka lebih peka. Apabila sesuatu terjadi, persediaan sudah pun dilakukan. Ini bermakna pemikiran dan penumpuan wanita lebih lebar. Pada lelaki, cukup dengan lesen dan duit. Sebab mereka mahu sampai ke matlamat. Duit untuk membeli dan lesen untuk memandu supaya selamat daripada disoal polis.
Demikianlah perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita. Kerana itu tidak hairanlah apabila suami isteri melihat banyak perkara secara berbeza. Contohnya suami isteri yang kedua duanya berkerja, mereka terpaksa keluar dari awal pagi.
Dalam banyak hal, wanita berkerja paling kerap bersungut. Suaminya, apabila keluar sahaja dari rumah,yang dibawa hanya kunci kereta, masuk dalam kereta dan hidupkan enjin, kemudian tunggu suami. Matlamat mereka ke pejabat. Mana kala isteri memikirkan apa yang anak bawa ke sekolah, baju di ampaian siapa yang hendak ambil, anak belum pakai baju lagi. Kalau boleh dia mahu memikirkan semua benda, kerana padanya, apabila sesuatu terjadi, bagaimana kesudahannya. Biar lewat ke tempat kerja, asalkan semuanya beres.
Apabila si suami dan isteri ke kompleks membeli belah, si isteri apabila masuk sahaja ke pusat membeli belah dia lihat banyak benda dahulu. Satu persatu, perlahan- lahan, dari atas ke bawah, kain itu dipegang, diperhatikan, diselkan, kemudian pegang pula kain lain, selepas berjam-jam barulah dibuat pilihan membeli. Pendek kata, si suami yang menjadi pengikut setia mudah bosan. Bagai lelaki apabila hendak membeli sesuatu,terus tuju ke tempat yang hendak dibeli dan terus membeli. Membeli belah pada lelaki tidak mengambil masa yang lama seperti perempuan.
Contoh-contoh tersebut menunjukan wanita mengamati sesuatu yang berbeza daripada lelaki. Sebab itu jangan bergaduh selepas membeli-belah, jangan bergaduh ketika mahu ke tempat kerja. Si isteri pula jangan putus asa melihat si suami, apabila keluar sahaja dari rumah terus masuk kereta. Tanpa mahu mengangkat botol susu anak, kain lampin anak, dan pelbagai lagi untuk di bawa ke rumah pengasuh.
Akuilah kita berbeza. Perbezaan bukan untuk bermusuh, sebaliknya saling bantu- membantu dan berkasih sayang. Kerana kita berbeza, kita lebih berkasih sayang, jangan disebabkan oleh perbezaan pada cara berkasih sayang antara seorang lelaki dengan seorang wanita, maka timbul krisis rumah tangga berpuluh-puluh tahun. Tentulah kerana perbezaan yang ada antara kita, maka kita lebih berkasih sayang.kerana itu, kita berbeza supaya lebih sayang menyayangi.
MINDA November 2003.
2 comments:
ada nak komen sikit
kadang2 ada yang lupa kenapa ada perbezaan antara lelaki dan perempuan...
maka kasih sayang pun berkurangan
Post a Comment