Hari ini enam tahun lalu, tentunya kita tidak boleh melupakan betapa dua buah pesawat digunakan untuk merempuh bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York.
Ternyata ia bukan kemalangan biasa. Luar biasa insiden itu bukan sahaja kerana ia melemahkan sendi psikologi Amerika Syarikat (AS), yang selama ini kebal daripada ditembusi tembok keselamatannya, tetapi juga telah mencorakkan dunia pada hari ini.
Kerana malu dihina sedemikian rupa, perkara pertama dilakukan oleh pentadbiran-pentadbiran Presiden George W. Bush susulan serangan 11 September 2001 ialah, menyatukan seluruh rakyat negara itu untuk menghadapi musuh yang melakukan serangan.
Dan tugas itu tidak sukar kerana dengan adanya bantuan media-media yang berpengaruh. Petik jari sahaja, stesen televisyen seperti Cable News Network (CNN), boleh menyiarkan siaran, tetapi berat sebelah, maka patriotisme rakyat AS dengan mudah dapat digemblengkan.
Langkah kedua, beliau menjana sokongan masyarakat antarabangsa terhadap kempen memerangi Al-Qaeda dan Taliban dengan Afghanistan menjadi sasaran pertama.
AS kemudian berjaya menumbangkan rejim Taliban di Afghanistan dan menaikkan Hamid Karzai sebagai ketua kerajaan baru.
Bagaimanapun, seperkara perlu diingatkan, dua individu yang paling dikehendakinya iaitu Osama bin Laden dan pemimpin Taliban, Mullah Muhamad Omar, dipercayai masih hidup dan bebas sehingga kini.
Mereka yang mengikuti kejadian sejak serangan 11 September tentunya akan sedar bahawa sepanjang peristiwa itu dunia seolah-olah dipaksa supaya menyertai kempen memerangi keganasan yang ditaja oleh AS. Ungkapan popular tentunya kenyataan bongkak Bush iaitu ‘‘sama ada anda bersama kami atau menentang kami.’’
Dan, kebanyakan negara memilih untuk bekerjasama dengan AS seperti berkongsi maklumat perisikan dan kerjasama-kerjasama dalam bentuk lain.
Bush menjanjikan sebuah dunia yang aman selepas 11 September, sesudah Al-Qaeda diperangi dengan Taliban dijatuhi, Osama dihancuri. Itulah juga yang membawa kepada kempen antikeganasan.
Tetapi agenda asal berkenaan kemudiannya menjadi sesuatu yang tidak mempunyai fokus, bercampur aduk, bercelaru dan mengelirukan.
Ia menjadi bertambah menjadi onar apabila AS kemudian dengan secara tiba-tiba menyebut mengenai ancaman senjata berbahaya oleh Iraq, sebelum kemudiannya mengancam untuk menyerang Iraq serta menjatuhkan kerajaan Presiden Saddam Hussein. Itulah juga dilakukan Bush pada pagi 20 Mac 2003. Presiden AS itu ternyata menunaikan janjinya untuk ‘menghabiskan’ Saddam tetapi ingkar pada satu lagi janji, iaitu menjadikan dunia ini aman.
Selepas 11 September, perang ke atas Afghanistan, tindakan ketenteraan terhadap Iraq dan lebih buruk ‘serangan’ buat orang Islam ternyata lebih menjadikan dunia makin anarki.
Aman atau tidak dunia ini jika wang rakyat terus hangus di Iraq? Damaikah dunia ini seandainya insiden penculikan warga asing masih lagi menjadi ancaman?
Tindakan Bush yang kemaruk darah dan haus pada nyawa mereka tidak berdosa (tentunya ramai orang Islam), bukan melambangkan dunia ini sebuah tempat yang tenteram.
Bush ketika melancarkan perang terhadap keganasan telah berjanji dan berhujah bahawa ia bukan satu peperangan terhadap orang Islam.
Malah, beliau mengambil inisiatif untuk melakukan lawatan ke beberapa pusat Islam dan masjid di AS demi menunjukkan keprihatinannya terhadap umat Islam. Malahan terbaru, pada akhir Julai lalu, Bush mengumumkan untuk melantik dutanya ke Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Bagaimanapun, apa yang berlaku ialah dunia menyaksikan Israel memperhebatkan serangannya di Palestin dan Lebanon manakala Rusia terus menindas pejuang Islam di Chechnya. Itu belum dikira penentangan Taliban yang muncul semula di Afghanistan serta giat diperangi oleh tentera bersekutu di situ.
Di negara-negara Barat, gangguan terhadap para penduduk Islam sentiasa dan terus dilaporkan oleh agensi-agensi berita antarabangsa. Bermakna apa yang digelar sebagai Islamofobia masih wujud dan berlanjutan sehingga sekarang. Semuanya terhasil daripada serangan berani mati 11 September. Secara jujur, sehingga sekarang, lelaki Sikh berjambang selain individu yang memiliki nama mempamerkan beragama Islam seperti Abdullah atau Muhammad menjadi mangsa prasangka dan tanggapan buruk sesetengah golongan di negara Barat.
Pendek kata, serangan 11 September telah mewujudkan satu jurang yang semakin melebar antara para penduduk Islam dengan golongan penduduk tempatan di negara-negara Barat.
Selepas enam tahun 11 September berlalu, dunia mungkin bertanya apakah pengajaran yang diperoleh AS. Atau belum cukupkah tempoh itu untuk pentadbiran Bush mencedok pengajaran selain membaca yang tersirat daripada peristiwa berkenaan.
‘‘Serangan itu tidak mengubah apa-apa. Tidak di pihak AS atau dunia sekalipun. Dunia bertambah kacau kerana serangan itu menjadikan AS seperti harimau luka, lebih bebas untuk menempatkan tenteranya di mana-mana negara selain lebih memihak kepada Israel dalam konflik di Asia Barat.
‘‘Politiknya 11 September ialah agama digunakan untuk kekerasan termasuk perang di Afghanistan, Iraq dan barangkali selepas ini di Iran dan Syria pula. Seperkara lagi, imej agama Islam yang dicorakkan susulan insiden itu bukan bertukar putih sebaliknya bertambah hitam dibuat AS,’’ kata Ruhanas Harun, Penyelaras Pengajian ASEAN, Institut Asia Eropah, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang hubungan antarabangsa dan merupakan bekas Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik di institusi sama kemudiannya menambah: ‘‘Berilah masa berapa lama sekalipun, AS tetap tidak akan berubah, mereka tidak akan sesekali membaca pesan yang cuba disampaikan oleh peristiwa-peristiwa menyusuli 11 September.’’
Dalam hal ini, Ruhanas menyamakan AS sebagai budak nakal yang enggan bertanggungjawab di atas kenakalannya.
‘‘AS menjadi budak nakal yang mencetuskan huru-hara tetapi mahu pihak lain meleraikan persengketaan itu. Apa yang berlaku di Iraq adalah contohnya. Mereka menyerang Iraq, menjadikan negara Teluk itu neraka kemudian mengharapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menolong mereka menstabilkan krisis di situ.’’
Dalam pada itu, enam tahun sesudah serangan, apa yang jelas ialah ia gagal mengubah dasar luar White House supaya lebih responsif terhadap masalah-masalah yang berlaku di dunia dan cuba memahami kenapa masalah itu berlaku.
Pendekatan diambil cukup mudah, mereka membutakan mata, memekakkan telinga daripada memahaminya.
Kalau mata mereka tidak tertutup, akar umbi kepada keganasan dapat mereka lihat. Kalau telinga mereka dibuka, tentunya, mereka mendengar rayuan dunia yang mahukan keamanan, bukan lagi peperangan.
AS memang perlu ada kewajipan moral membetulkan dunia yang haru-biru sekarang ini. Ia tentunya kerana haru-biru itu dimulakan olehnya, bukan dilakukan penyerang berani mati pada detik 8.30 malam, 11 September, enam tahun lalu.
Ya, Bush menjanjikan sebuah dunia yang aman apabila Al-Qaeda diperangi, keganasan diatasi.
Nah, kita mahu bertanya secara jujur amankah dunia hari ini, kalau mengambil kira apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan dan beberapa negara di Afrika?
Sumber Utusan Malaysia 11 september 2007
Thursday, September 13, 2007
Damai selepas 6 tahun?
Posted by ABU HATEEM NAUFAH at 11:37 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment